Friday 16 April 2010

Pilihan raya kecil Sibu 16 Mei

TERKINI

Oleh Neville Spykerman

SHAH ALAM, 16 April — Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sibu akan diadakan pada 16 Mei ini manakala penamaan calon pula 8 Mei.

Keputusan pilihan raya kecil kedua di Sarawak sejak Mac 2008 diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) hari ini.

Proses penamaan calon dan penjumlahan undi rasmi bagi pilihan raya kecil itu akan dilaksanakan di Dewan Suarah, Sibu.

Pilihan raya kecil itu perlu diadakan mengikut Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu.

Abdul Aziz berkata, SPR telah pun menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat beserta sijil kematian Lau, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 12 April lepas dan SPR memastikan kekosongan kerusi Parlimen Sibu pada 10 April.

Mengikut perlembagaan, pilihan raya kecil perlu diadakan 60 hari selepas tarikh kekosongan kerusi itu dipastikan.

Abdul Aziz juga berkata bahagian Parlimen Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar termasuk 2,537 pengundi pos kalangan angota tentera dan polis.

Daripada jumlah itu, 36,389 adalah pengundi Cina (66.7 peratus), 5,740 Melayu (10.5 peratus) dan 12,050 Bumiputera Sarawak (22.1 peratus).

Seramai 27,679 adalah pengundi wanita.

Dalam pada itu, 3,028 orang adalah pengundi baru ataupun mereka yang berpindah ke bahagian itu sejak selepas pilihan raya umum 2008.

Abdul Aziz menambah, 467 pengundi pula berusia 90 tahun ke atas, 1,044 orang lagi berusia antara 80 dan 89 tahun dan 2,757 lagi berusia antara 70 dan 79 tahun.

Beliau juga berharap tidak akan ada halangan imigresen terhadap mereka yang hendak berkempen dari Semenanjung.

Bagaimanapun katanya, perkara itu terletak di bawah penyeliaan Jabatan Imigresen.

Beliau berkata, SPR ingin melihat pergerakan yang bebas antara negeri.